Friday 7 December 2012

Apakah Asal Usul Orang Melayu : OPPENHEIMER PERJELAS ASAL USUL MELAYU

OPPENHEIMER PERJELAS ASAL USUL MELAYU -  Eden in the East
Kini, berdasarkan kajian daripada seorang pakar genetik dari Universiti Oxford iaitu Dr Stephen Oppenheimer didapati bahawa orang Melayu adalah perintis kepada tamadun manusia moden. Beliau berasa sangat terkejut apabila melihat betapa kajian ke atas asal usul warga pribumi di negara ini dijalankan mengikut pertimbangan politik.

Reaksi terkejut seperti itu dapat dikesan melalui laporan beberapa media ke atas satu persidangan mengenai asal usul orang Melayu minggu lalu, yang mendedahkan bahawa Orang Asli daripada suku Senoi, Semang dan Melayu Proto merupakan bangsa yang bertanggungjawab dalam merintis tamadun manusia moden.

Oppenheimer ketika menjelaskan penemuan itu dalam satu wawancara dengan Malaysiakini minggu lalu berkata, Orang Asli khususnya dari suku Semang dan Melayu Proto merupakan keturunan daripada manusia pertama yang menjejakkan kaki ke Asia Tenggara.

Keturunan manusia itu, di kawasan yang dahulunya dikenali sebagai Pentas Sunda ini juga menjadi nenek moyang kepada keturunan mereka di Asia Timur dan juga di benua Amerika, katanya.

Keturunan Semang dan Melayu Proto itu mempunyai ciri khas dan unik, sama seperti keturunan yang tersebar daripada kawasan Pentas Sunda, kata Oppenheimer lagi.

Perkara itu menunjukkan bahawa masyarakat tersebut telah wujud di sini semenjak penduduk awal tiba di kawasan ini, tambahnya.

Beliau menjalankan kajian tersebut ke atas sampel DNA yang diperolehi daripada penduduk serata dunia untuk menentukan asal usul masyarakat dunia; bermula daripada manusia pertama di Afrika sehingga kepada warga Eropah di teluk Arab dan juga tanah warga Asia timur di Pentas Sunda.

Oppenheimer berada di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu untuk membentangkan kajiannya di persidangan Asal Usul Melayu: Induknya di Alam Melayu, anjuran Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia.

Beliau telah menerbitkan kajiannya sebelum ini melalui buku Eden in the East dan juga Out of Eden yang memperincikan teorinya mengenai migrasi penduduk awal dunia.

Pembentangan kajiannya boleh dilihat di laman 'Bradshaw Foundation', satu badan yang bergiat dalam kajian genetik, antropologi dan arkeologi.

No comments:

Post a Comment