Thursday 29 November 2012

Apa Itu Tutup Bumi? Apa Itu Lengkuas? Apa Itu Halia? Apa Itu Daun Kunyit? Apa Itu Limau Purut? Apa Itu Serai Wangi?

HERBA TUTUP BUMI
Nama saintifiknya ialah Elephantopus scaber. Tumbuhan tutup bumi mudah dikenali kerana daunnya berbulu di kedua-dua permukaan dan bergerigi di tepi. Tumbuhan tutup bumi mudah tumbuh di kawasan padang rumput, tepi jalan ataupun di tanah terbuka. Ia bukan sahaja mudah ditemui malah tumbuhan ini sememangnya mempunyai khasiat yang sesuai untuk penjagaan kesihatan diri seperti merawat selesema, sakit tekak, batuk, dan anemia (wanita dan kanak-kanak). Ia juga mampu merawat haid yang tidak teratur serta sering digunakan oleh wanita selepas bersalin kerana kebaikannya yang dapat mengecutkan rahim.

LENGKUAS
Tumbuhan yang berumpun dan boleh mencapai ketinggian hingga 2.5 meter. Lengkuas boleh tumbuh di kawasan dataran rendah hingga ke kawasan tanah tinggi sekitar 1200 meter dari paras laut. Ia membiak melalui rizomnya iaitu batang yang tumbuh secara mengufuk di bawah permukaan tanah. Terdapat dua jenis lengkuas, lengkuas yang biasa digunakan dalam masakan selalunya berwarna putih manakala lengkuas untuk ubat mempunyai rizom berwarna merah yang lebih besar. Lengkuas memerlukan tanah yang bersaliran baik dan agak gembur untuk membantu pertumbuhan rizomnya.

Kegunaan Lengkuas - Lengkuas mempunyai khasiat untuk membersihkan darah, merangsang otot dan mempunyai ciri-ciri afrodisiak. Kerana itu ia banyak dijadikan sebagai salah satu bahan dalam jamu dan ubat atau produk kosmetik untuk menguatkan tenaga. Lengkuas juga dapat digunakan untuk menghangatkan badan. Lengkuas juga dapat meningkatkan tenaga batin, mempermudahkan pengeluaran angin dalam badan, dan mengurangkan masalah senggugut.

HALIA
Halia atau nama saintifiknya Zingiber officinale Roscoe merupakan sejenis tumbuhan yang selalu digunakan sebagai rempah perasa dalam masakan. Biasanya dalam perubatan halia diambil dalam bentuk minuman halia, halia kering, air rebusan halia atau pati halia. Halia dikatakan dapat membantu menguatkan tenaga batin, menambahkan air mani dan membuang angin yang terdapat di dalam usus kecil dan usus besar.
Kegunaan Halia - Halia boleh diproses untuk pengeluaran minyak dan hasil ekstrak. Bahan aktif dalam ekstrak halia ialah gingerols dan oleoresin. Minyak halia boleh dijadikan bahan perisa minuman buah-buahan, konfeksionari, kosmetik dan ubatan.

DAUN KUNYIT
Dalam perubatan, kunyit digunakan sebagai anti-oksidan, anti-bakteria, anti-radang dan anti-kanser. Kunyit juga berupaya menyembuhkan luka dalam badan, membersih dan menghalang pembekuan darah, melancarkan perjalanan darah, membantu proses pencernaan serta menghilangkan selsema. Ia juga dikatakan dapat menyembuhkan luka, seliuh anggota dan juga kudis.

LIMAU PURUT

Limau purut digunakan sebagai ramuan ubatan dan juga bahan untuk mandi wap. Selain berkesan sebagai penggalak anti-tumor atau pencegah kanser, limau purut juga berupaya merawat  luka, lebam dan gigitan serangga berbisa serta merangsang perjalanan darah, selain dapat menghilangkan bau badan.

SERAI WANGI
Pokok ini lazim ditanam untuk kegunaan masakan. Selain penambah perisa, ia mampu menaikkan aroma masakan. Dipercayai daunnya yang ditumbuk lumat apabila dipupuk pada dahi mampu meredakan sakit dan ketegangan kepala. Malah bisa-bisa badan atau sengal sendi-sendi mampu diubati melalui cara itu. Air perahan serai berkesan mengelak gigitan nyamuk apabila disapu pada kulit. Mereka yang tidak lawas membuang air kecil boleh minum air rebusan daun dan akar serai. Malah ia mencegah perut daripada kembung. Pati akarnya boleh digunakan sebagai pewangi untuk syampu rambut serta mewangikan pakaian.

No comments:

Post a Comment